Pentadbiran Bahagian Samarahan

Dari Desa Terpencil ke Kota Ilmu

 

IRSDA


SEJARAH PENUBUHAN IRSDA

Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) ataupun dikenali sebagai Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan telah diumumkan penubuhannya oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 12 November 2018 bersempena dengan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Dewan Suarah Kota Samarahan. IRSDA merupakan di antara pendekatan baharu Kerajaan Sarawak untuk memacu dan merancakkan pembangunan di Bahagian Samarahan.
 
IRSDA telah diperuntukan RM1.5 billion melalui peruntukan alternatif untuk melaksanakan pelbagai projek dan program bagi merancakkan lagi pertumbuhan sosio-ekonomi rakyat dan mempercepatkan lagi pembangunan prasarana di Bahagian Samarahan secara menyeluruh.
 
Berikutan pengumuman penubuhan IRSDA oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, satu sesi Bengkel Penyediaan Projek dan Program IRSDA telah diadakan pada 14 hingga 15 Februari 2019 di The Waterfront Hotel, Kuching untuk menentukan struktur pengoperasian IRSDA dan mengenal pasti senarai jenis-jenis projek yang akan dilaksanakan melalui IRSDA. Selain daripada itu, beberapa sesi mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA juga telah diadakan bagi merancang pelaksanaan projek-projek di bawah IRSDA ini.
 
Walaupun IRSDA hanya dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching pada 10 Jun 2022, namun sudah terdapat 594 projek secara keseluruhannya di bawah pelaksanaan IRSDA berkat usaha semua pihak yang terlibat dalam mengusahakan IRSDA ini.

 

OBJEKTIF PENUBUHAN IRSDA

Merancang dan menyelaras pembangunan secara sistematik dan holistik di Bahagian Samarahan
 

TUJUAN PENUBUHAN IRSDA

i. Meningkatkan peluang pelaburan dan kolaborasi untuk mengekploitasi potensi sumber dan ekonomi yang terdapat di Samarahan;

ii. Memperkasakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam ke arah pelaksanaan ekonomi digital;

iii. Mentransformasikan dan membudayakan nilai-nilai keusahawanan di kalangan penduduk setempat; dan

iv. Mengagihkan dana pembangunan untuk pelaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi.


LOGO IRSDA



Logo IRSDA yang bermotifkan Bunga Terung dengan lapan (8) kelopak melambangkan Bahagian Samarahan sebagai Bahagian ke-8 di Sarawak. Lapan (8) kelopak ini juga melambangkan impak dinamik setiap perancangan dan pelaksanaan projek IRSDA di Bahagian Samarahan. Warna biru dan hijau muda pada 8 kelopak ini pula melambangkan kelestarian pembangunan yang dibawa oleh IRSDA di Bahagian Samarahan


KAWASAN PEMBANGUNAN IRSDA

Bahagian Samarahan pada awal penubuhan IRSDA hanya mempunyai tiga (3) daerah iaitu daerah Samarahan, Asajaya dan Simunjan dan dua (2) daerah kecil Sebuyau dan Sadong Jaya.

Dari segi pembahagian mengikut kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Bahagian Samarahan semasa penubuhan IRSDA dibahagikan kepada 4 kawasan Parlimen iaitu P.197 Kota Samarahan yang meliputi DUN N.15 Asajaya, DUN N.16 Muara Tuang dan DUN N.17 Stakan, P.200 Batang Sadong yang meliputi DUN N.24 Sadong Jaya, DUN N.25 Simunjan, DUN N.26 Gedong, P.201 Batang Lupar yang melibatkan Dun N.27 Sebuyau dan sebahagian P.202 Sri Aman yang merangkumi sebahagian DUN N.30 Balai Ringin.
 
Semua projek pembangunan IRSDA dilaksanakan mengikut kesesuaian di semua daerah dan daerah kecil di Bahagian Samarahan supaya pembangunan yang menyeluruh dan holistik dapat dicapai di semua daerah dan daerah kecil dalam Bahagian Samarahan.

Walaubagaimanapun, selepas proses persempadanan semula yang telah diwartakan pada 15 Mac 2022, Daerah kecil Sebuyau dan kawasan Gedong telah dinaiktaraf menjadi Daerah penuh manakala kawasan DUN N.30 Balai Ringin yang terletak di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan pula dipindahkan ke pentadbiran Bahagian Serian

Selepas proses persempadanan semula,
pembangunan kawasan DUN N.30 Balai Ringin dimasukkan ke dalam tumpuan pembangunan Sri Aman Development Agency (SADA) dan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) manakala IRSDA akan menumpukan lebih perhatian dalam pembangunan 7 kawasan DUN yang meliputi 5 Daerah dan 1 Daerah Kecil di Bahagian Samarahan.


STRUKTUR ORGANISASI IRSDA
 
IRSDA diterajui oleh sebuah Jawatankuasa Pemandu yang terdiri daripada semua ahli-ahli Yang Berhormat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Bahagian Samarahan dan wakil daripada Perkhidmatan Awam Sarawak. Jawatankuasa Pemandu IRSDA ini dipengerusikan oleh Yang Berhormat Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri N.15 Asajaya.
 
Jawatankuasa Pemandu IRSDA ini dipacu oleh empat (4) Jawatankuasa Kecil IRSDA iaitu Jawatankuasa Kecil Pembangunan Infrastruktur IRSDA, Jawatankuasa Kecil Pesisir Pantai, Ban, Sungai dan Perparitan IRSDA, Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pertanian IRSDA dan Jawatankuasa Kecil Pembangunan Pelancongan IRSDA. Empat (4) Jawatankuasa Kecil ini masing-masing bertangggungjawab untuk mengendalikan projek-projek pembangunan prasarana dan sosio-ekonomi di Bahagian Samarahan.
 
Selain daripada itu, Jawatankuasa Pemandu IRSDA ini juga turut dibantu oleh Sekretariat IRSDA yang ditempatkan di Pejabat Residen Bahagian Samarahan. Sekretariat IRSDA ini bertanggungjawab untuk menyelia, memantau dan menyelaras projek-projek di bawah IRSDA.
 
Setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA juga mempunyai Sekretariat masing-masing yang bertindak untuk menyelia, memantau dan menyelaras program/projek IRSDA serta menyediakan laporan pencapaian prestasi Jawatankuasa Kecil masing-masing kepada Sekretariat Induk IRSDA. Selain itu, sekretariat ini turut memainkan peranan sebagai agensi pelaksana bagi projek-projek IRSDA


 


SEKRETARIAT IRSDA
 

Sekretariat Induk IRSDA diketuai oleh Encik Mohamad Irwan bin Bahari Bujang, Residen Bahagian Samarahan merangkap Setiausaha kepada Jawatankuasa Pemandu IRSDA dan dibantu oleh 16 pegawai yang terdiri daripada Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Timbalan Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Pegawai-pegawai Tadbir serta Staf-staf dalam kumpulan sokongan yang ditempatkan di Pejabat IRSDA.
 
Struktur pengoperasian dan bilangan pegawai-pegawai bagi Sekretariat Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil IRSDA yang lain pula adalah terpulang kepada budi bicara kementerian dan agensi yang dilantik menjadi Sekretariat bagi setiap Jawatankuasa Kecil tersebut.
 
Komunikasi di antara Sekretariat Induk IRSDA dan Sekretariat Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil yang lain dengan agensi-agensi pelaksana projek-projek IRSDA adalah melalui pegawai seranta yang dilantik bagi setiap Sekretariat dan agensi-agensi pelaksana IRSDA. Pegawai seranta ini juga dipertanggungjawabkan untuk memantau pelaksanaan projek-projek IRSDA dalam Sekretariat dan agensi masing-masing.



AGENSI-AGENSI PELAKSANA IRSDA
 

Setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA adalah bertanggungjawab untuk mengendalikan pelbagai jenis projek-projek yang mempunyai ciri-ciri yang khusus dan unik untuk setiap Jawatankuasa kecil masing-masing. Cadangan mengikut jenis-jenis projek bagi pelaksanaan setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA ini adalah dikemukakan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Kawasan, agensi-agensi kerajaan, pihak-pihak berkepentingan dan juga penduduk-penduduk kawasan Bahagian Samarahan kepada sekretariat setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA.
 
Sekretariat kepada setiap Jawatankuasa Kecil IRSDA selepas menerima cadangan akan menilai kebolehlaksanaan projek-projek tersebut dan membentangkannya kepada Jawatankuasa Kecil IRSDA masing-masing untuk kelulusan. Sekiranya cadangan diluluskan di peringkat Jawatankuasa Kecil IRSDA, cadangan tersebut akan seterusnya dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu IRSDA untuk kelulusan.     

Jawatankuasa Pemandu IRSDA dan setiap Jawatankuasa-Jawatankuasa Kecil di dalam IRSDA adalah bertanggungjawab untuk mengenal pasti agensi-agensi pelaksana yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan dan melaksanakan projek-projek yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Pemandu IRSDA

 



PAUTAN

 
picture Undian
picture Pengumuman