Pentadbiran Bahagian Samarahan

Dari Desa Terpencil ke Kota Ilmu

 

Profil Bahagian Samarahan


Bahagian Samarahan telah diisytiharkan sebagai Bahagian Kelapan pada tahun 1987. Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandaraya Kuching dan boleh dihubungi melalui Jalan darat atau melalui sungai. Bahagian Samarahan yang berkeluasan lebih kurang 2,426 kilometer persegi mempunyai lima buah daerah, iaitu Samarahan, Simunjan, Asajaya, Gedong, Sebuyau serta sebuah daerah kecil, iaitu Daerah Kecil Sadong Jaya di bawah Pentadbiran Daerah Asajaya. Rajah 1 menunjukkan sempadan pentadbiran terkini untuk Bahagian Samarahan.
 

Rajah 1: Sempadan terkini pentadbiran Bahagian Samarahan


 
Pentadbiran Bahagian Samarahan diketuai oleh Pejabat Residen Bahagian Samarahan, manakala di Pentadbiran di peringkat daerah pula diketuai oleh Pejabat Daerah. Pada mulanya Samarahan  merupakan sebuah Daerah kecil yang dikenali sebagai Daerah Kecil Muara Tuang yang pada ketika itu di bawah bidangkuasa Pentadbiran Daerah Kuching. Pada tahun 1983, Daerah Kecil Muara Tuang telah dinaikkan taraf menjadi daerah penuh dan telah dinamakan sebagai Kota Samarahan dan seterusnya pada tahun 1987 Kota Samarahan telah dinaikkan taraf sebagai Bahagian yang kelapan di Negeri Sarawak merangkumi Daerah Serian, Simunjan dan Asajaya bagi membentuk sebuah bahagian yang dinamakan sebagai Bahagian Samarahan. Namun begitu, pada tanggal 1 Oktober 2015 Daerah Serian telah pun dipisahkan dari Pentadbiran Bahagian Samarahan setelah dinaik taraf sebagai Bahagian yang ke-12 di Negeri Sarawak.

Dulunya keadaan geografi Bahagian Samarahan adalah merupakan kawasan yang berpaya serta sukar untuk dibangunkan, maka aktiviti pertanian ketika itu hanya diusahakan sekadar untuk sara diri sahaja. Atas usaha pro-aktif Kerajaan Negeri yang berjaya melaksanakan pelan induk pembangunan yang komprehensif bertunjangkan falsafah Politik Pembangunan, kini Bahagian Samarahan telah pesat membangun serta dikenali sebagai Kota Ilmu.

Dengan terbinanya Institut Pengajian Tinggi(IPT) seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sebuah Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPTAR) di Samarahan telah merancakkan pertumbuhan Bahagian Samarahan yang dapat disaksikan pada hari ini. Bahagian Samarahan terus menjadi pilihan sebagai pusat pembangunan institusi pendidikan dan penyelidikan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Jantung Negara, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Lembaga Koko Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara dan Institut Penyelidikan Tanah Gambut Sarawak.

Luas kawasan Bahagian Samarahan ialah 2,426 kilometer persegi dengan Daerah Sebuyau adalah yang terbesar iaitu meliputi 30 peratus keluasan Bahagian Samarahan. Perincian kealuasan daerah, populasi penduduk dan kegiatan ekonomi di setiap daerah dalam Bahagian Samarahan boleh dirujuk di Jadual 1.
 

Jadual 1: Perincian keluasan daerah, populasi penduduk dan kegiatan ekonomi di setiap daerah
dalam Bahagian Samarahan

NAMA BAHAGIAN
 
KELUASAN BAHAGIAN
SAMARAHAN 2,426 km2 approx
 
DAERAH-DAERAH DALAM BAHAGIAN SAMARAHAN
 

NAMA DAERAH
 
KELUASAN DAERAH (km2 approx)
1. Daerah Samarahan 421 
2. Daerah Asajaya 290
3. Daerah Simunjan 395.6 
4. Daerah Sebuyau 707.2 
5. Daerah Gedong 612
6. Daerah Kecil Sadong Jaya 121 

JUMLAH PENDUDUK MENGIKUT DAERAH (orang)
 

NAMA DAERAH
 
JUMLAH PENDUDUK (orang)
1. Daerah Samarahan 136,500
2. Daerah Asajaya 20,017
3. Daerah Simunjan 11,115
4. Daerah Sebuyau 13,478
5. Daerah Gedong 14,424
6. Daerah Kecil Sadong Jaya 10,954
JUMLAH KESELURUHAN 206,488

KEGIATAN EKONOMI MENGIKUT DAERAH
 
1. Daerah Samarahan Pertanian, Perikanan dan Usahawan
2. Daerah Asajaya Pertanian, Perikanan dan Usahawan
3. Daerah Simunjan Pertanian, Perikanan dan Usahawan
4. Daerah Sebuyau Pertanian, Perikanan dan Usahawan
5. Daerah Gedong Pertanian, Perikanan dan Usahawan
6. Daerah Kecil Sadong Jaya Pertanian, Perikanan dan Usahawan
 
Undian
Pengumuman