PENUBUHAN IRSDA


Integrated Regional Samarahan Development Agency (IRSDA) ataupun dikenali sebagai Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan telah diumumkan penubuhannya oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg pada 12 November 2018 bersempena dengan Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-2 Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) di Dewan Suarah Kota Samarahan. IRSDA merupakan di antara pendekatan baharu Kerajaan Sarawak untuk memacu dan merancakkan pembangunan di Bahagian Samarahan. IRSDA telah diperuntukan RM1.5 billion melalui peruntukan alternatif untuk melaksanakan pelbagai projek dan program bagi merancakkan lagi pertumbuhan sosio-ekonomi rakyat dan mempercepatkan lagi pembangunan prasarana di Bahagian Samarahan secara menyeluruh. Berikutan pengumuman penubuhan IRSDA oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak, satu sesi Bengkel Penyediaan Projek dan Program IRSDA telah diadakan pada 14 hingga 15 Februari 2019 di The Waterfront Hotel, Kuching untuk menentukan struktur pengoperasian IRSDA dan mengenal pasti senarai jenis-jenis projek yang akan dilaksanakan melalui IRSDA. Selain daripada itu, beberapa sesi mesyuarat Jawatankuasa Pemandu IRSDA juga telah diadakan bagi merancang pelaksanaan projek-projek di bawah IRSDA ini. Walaupun IRSDA hanya dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Premier Sarawak di Raia Hotel & Convention Centre, Kuching pada 10 Jun 2022, namun sudah terdapat 594 projek secara keseluruhannya di bawah pelaksanaan IRSDA berkat usaha semua pihak yang terlibat dalam mengusahakan IRSDA ini.

 

OBJEKTIF PENUBUHAN IRSDA

Merancang dan menyelaras pembangunan secara sistematik dan holistik di Bahagian Samarahan

 

TUJUAN PENUBUHAN IRSDA

  1. Meningkatkan peluang pelaburan dan kolaborasi untuk mengekploitasi potensi sumber dan ekonomi yang terdapat di Samarahan;
  2. Memperkasakan pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam ke arah pelaksanaan ekonomi digital;
  3. Mentransformasikan dan membudayakan nilai-nilai keusahawanan di kalangan penduduk setempat; dan
  4. Mengagihkan dana pembangunan untuk pelaksanaan projek-projek yang berimpak tinggi.