KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Samarahan Boulevard dijangka meletakkan kawasan itu pada landasan pembangunan baharu, sekali gus muncul sebagai mercu tanda ikonik bagi penganjuran pelbagai acara berskala besar di sini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek berkenaan turut mencerminkan wawasan jauh ke hadapan yang bakal mentransformasikan Samarahan menjadi kawasan bandar yang lebih berdaya huni, dinamik dan strategik.
“Ini merupakan satu projek berwawasan jauh yang akan meletakkan Samarahan dalam satu landasan baharu apabila ia siap kelak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Samarahan Boulevard Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata Kota Samarahan telah melalui proses transformasi pesat hasil perancangan menyeluruh sejak 1980-an, khususnya dengan penubuhan Universiti Teknologi MARA dan Universiti Malaysia Sarawak yang menjadikannya sebuah hab ilmu.
“Selain itu, dengan perancangan rapi serta perkembangan pesat Kuching, Samarahan kini turut muncul sebagai kawasan perumahan utama yang menarik bukan sahaja penduduk tempatan, malah warga Kuching termasuk mereka yang baharu mendirikan rumah tangga.
“Sebab itulah antara perancangan kita untuk mensejahterakan rakyat yang tinggal di sini termasuk pelajar di universiti awam ialah menyediakan ruang yang sesuai untuk beriadah serta berkumpul pada waktu petang dan hujung minggu,” ujarnya.
Beliau berkata, idea membangunkan sebuah boulevard dan dataran awam tercetus daripada keperluan menyediakan ruang pusat bagi aktiviti rekreasi, perhimpunan serta penganjuran acara berskala besar, seumpama dataran ikonik di bandar-bandar utama dunia.
“Ketika ini, acara besar peringkat negeri masih diadakan di Padang Merdeka yang sering mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang serius. Justeru, Samarahan Boulevard dirangka sebagai lokasi baharu yang mampu menampung penganjuran acara besar dalam tempoh 20, 30 atau bahkan 50 tahun akan datang.
“Boulevard ini juga bakal menjadi mercu tanda ikonik dan tumpuan aktiviti komuniti, festival serta program peringkat negeri, selain membantu mengurangkan kesesakan di Kuching,” jelasnya.
Menurut beliau, projek tersebut selari dengan pembangunan infrastruktur yang lebih menyeluruh di Samarahan, termasuk sistem Transit Aliran Autonomi (ART), lebuh raya bertingkat, cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu serta pelabuhan laut dalam yang dijangka mengubah landskap kawasan itu secara signifikan.
“Keseluruhan Samarahan akan berubah. Oleh itu, semua pihak berkepentingan perlu sentiasa merancang ke hadapan dan berfikir dalam jangka panjang tanpa mengambil jalan pintas, bagi memastikan pembangunan mampan untuk generasi akan datang,” tegasnya.
Sementara itu, Abdul Karim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemandu IRSDA berkata, agensi berkenaan telah melaksanakan sebanyak 637 projek pembangunan di seluruh Bahagian Samarahan.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 508 projek telah siap, mewakili kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan projek.
“Pencapaian ini mencerminkan tahap pelaksanaan yang memberangsangkan serta komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Untuk rekod, projek Samarahan Boulevard akan dilaksanakan secara berfasa dengan Fasa Pertama melibatkan peruntukan RM25 juta, yang memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur asas serta kemudahan rekreasi.
Manakala, Fasa Kedua pula melibatkan peruntukan RM102 juta, menjadikan keseluruhan kos projek berjumlah RM127 juta.