News

 

Kerajaan Sarawak Laksana Pembangunan IAC Samarahan, Pejabat Daerah & Kuarters Baharu Tahun Ini

Posted on 02 Feb 2026
Source of News: UKAS


GEDONG: Projek pembangunan Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC) Bahagian Samarahan dijangka dilaksanakan bermula tahun ini sebagai langkah memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan Sarawak kepada rakyat di bahagian berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, selain itu terdapat juga projek pembangunan bagi Pejabat Daerah Pejabat dan kuarters baharu di Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong.

Menurut beliau, lawatan kerja beliau bersama agensi-agensi terlibat ke beberapa tapak cadangan sebelum ini telah berjaya mengenalpasti kawasan yang sesuai.

“Hari ini kita turun padang untuk melihat sendiri sama ada tempat yang dah dikenalpasti itu sesuai atau tidak dan ada sedikit cadangan dan mungkin perubahan dari segi kawasan tapaknya.

"Namun saya percaya bahawa apabila perkara ini dapat kita perhalusi dengan segera, maka pelaksanaan projek ini akan dapat kita mulakan tahun ini,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) selepas membuat lawatan ke beberapa tapak pembinaan pejabat daerah dan kuarters kerajaan bagi Bahagian Samarahan, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan tempoh pelaksanaan kesemua projek ini dijangka memakan masa dalam 24 hingga 36 bulan.

“Mungkin akan dapat kita selesaikan dengan cepat, dengan lebih awal kalau ada kerjasama daripada semua pihak dan kita berharap bahawa apabila ianya siap nanti, ia hanya akan dapat memberi ruang kerja yang kondusif, tempat tinggal yang kondusif untuk warga perkhidmatan awam kita di Sarawak, khususnya di kawasan-kawasan luar bandar,” jelas beliau lagi.

Dalam siri lawatan kali ini, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar telah melawat tapak IAC dan kuarters di Kota Samarahan, Asajaya dan tapak Pejabat Daerah Sebuyau yang baharu.

Selain itu, beliau turut mengadakan lawatan kerja ke tapak Pejabat Daerah Kecil dan kuarters baharu di Sadong Jaya dan seterusnya ke tapak Pejabat Daerah dan kuarters di dalam kawasan Sebuyau, Simunjan dan Gedong.

Mengiringi beliau ialah Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Timbalan Residen Bahagian Samarahan Rais Ahmat, Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) Anuar Da’an dan Ketua-Ketua Jabatan yang terlibat. -EDISI UKAS


Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Mior



Last Updated On 02 Feb 2026

Waktu Pejabat


Isnin - Khamis
8:00am to 1:00pm & 2:00pm to 5:00pm


Jumaat
8:00am to 11:30pm & 2:30pm to 5:00pm


Tutup pada Sabtu, Ahad & Cuti Umum

image Undian
image Pengumuman