News

 

KSR 2025 galak gaya hidup sihat penjawat awam

Posted on 12 Nov 2025
Source of News: https://www.tvsarawak.my/2025/11/07/ksr-2025-galak-gaya-hidup-sihat-penjawat-awam/



KOTA SAMARAHAN, 6 Nov
: Penganjuran Karnival Sukan Rando (KSR) 2025 bukan sekadar medan pertandingan sebaliknya menjadi platform penting dalam memupuk disiplin, menggalakkan gaya hidup sihat dan memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan penjawat awam Sarawak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik berkata, karnival dwitahunan itu mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk menyemai perpaduan dan semangat setiakawan di seluruh lapisan perkhidmatan awam.

“Karnival ini bukan sekadar acara pertandingan sukan, malah menjadi wadah mengukuhkan semangat kebersamaan, mendisiplinkan diri, menggalakkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kerjasama antara organisasi dalam pentadbiran kita di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demkian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang pada Majlis Perasmian Karnival Sukan Rando (KSR) 2025 di sini, malam tadi.

Menurutnya, penganjuran KSR 2025 turut mencerminkan semangat One Team yang menjadi budaya kerja penjawat awam wilayah ini di samping menggalakkan aktiviti sukan sebagai amalan sepanjang hayat demi kesejahteraan sosial dan peningkatan produktiviti.

Beliau turut menyeru semua pasukan agar bertanding dengan semangat kesukanan tinggi dan menjadikan karnival ini sebagai simbol kesatuan, kecergasan serta kecemerlangan pentadbiran Sarawak.

KSR 2025 menampilkan lima acara utama iaitu bola sepak, bola jaring, badminton, pingpong dan pickleball (acara baharu), dengan penyertaan membabitkan 12 bahagian dan 45 daerah di seluruh wilayah ini.

 


image Undian
image Pengumuman