Berita

 

Integriti Teras Budaya Kerja Penjawat Awam Sarawak

Disiarkan pada 23 Aug 2025
Sumber Berita: UKAS
Integrity Run 2025

KOTA SAMARAHAN
: Integriti perlu dijadikan teras budaya kerja setiap penjawat awam, selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk membentuk sebuah pentadbiran yang telus, berakauntabiliti dan berorientasikan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, integriti bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu dipraktikkan dalam setiap tindakan, keputusan dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Apabila integriti menjadi asas, maka rakyat akan merasai sebuah pentadbiran yang jujur, adil dan berakauntabiliti,” katanya ketika merasmikan Integrity Run Peringkat Negeri Sarawak 2025 anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan kerjasama Pentadbiran Bahagian Samarahan, di sini, pada Sabtu.

Acara yang menghimpunkan lebih 300 peserta daripada pelbagai jabatan serta agensi sekitar Samarahan ini menjadi manifestasi sokongan terhadap usaha memperkukuh budaya integriti dalam perkhidmatan awam.

Program dimulakan seawal pagi dengan sesi memanaskan badan dan taklimat keselamatan, sebelum Datuk Dr Juanda sendiri melepaskan peserta larian sejauh 4 kilometer.

Acara tersebut menyaksikan Mohamad Asroll Anuar muncul juara, diikuti Fazlin Amyril Shah Latip di tempat kedua dan Ijaz Dilah di tempat ketiga.

Hadir sama, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pengarah UNIONS Wan Mohamad Wan Drahman.


image Undian
image Pengumuman