News

 

Festival Integriti Samarahan 2025 Perkukuh Tekad Zon Bebas Rasuah

Posted on 15 Aug 2025
Source of News: UKAS, The Borneo Post


KOTA SAMARAHAN: Pentadbiran Bahagian Samarahan meneruskan iltizam memperkukuh budaya integriti dengan penganjuran Festival Integriti Peringkat Bahagian Samarahan 2025 bertemakan ‘Zon Bebas Rasuah’ yang berlangsung di Dewan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS), Kota Samarahan di sini, pada Jumaat.

Festival tersebut dirasmikan Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang dan mendapat kerjasama strategik daripada Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dan Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) serta penyertaan pelbagai jabatan kerajaan negeri dan persekutuan.

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, Hasbilah Mohammad Salleh yang menyaksikan pelaksanaan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai tanda komitmen pentadbiran dan agensi kerajaan di Bahagian Samarahan untuk menolak sebarang bentuk rasuah.

Dalam ucapannya, Mohamad Irwan menegaskan bahawa integriti perlu menjadi teras dalam pentadbiran, pembangunan sosioekonomi dan tadbir urus kerajaan selain mengangkat pesanan Premier Sarawak yang disampaikan ketika Borneo International Integrity Summit (BIIS) 2025 bahawa tadbir urus yang cekap, telus dan bebas rasuah merupakan prasyarat penting bagi pembangunan mampan serta pembinaan kepercayaan rakyat.

Beliau turut menyeru semua penjawat awam agar sentiasa berpegang kepada nilai integriti, mematuhi etika kerja, dan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab demi mencapai hasrat Sarawak Maju Berpendapatan Tinggi 2030.

Festival ini merupakan kesinambungan siri program integriti sejak 2023, bermula dengan Majlis IBR diikuti Hari Integriti peringkat dalaman, program team building, sebelum berkembang menjadi Hari Integriti Peringkat Bahagian Samarahan pada 2024.

Edisi 2025 ini lebih meriah dengan kehadiran personaliti motivasi terkenal kelahiran Sarawak, Amin Idris yang berkongsi pandangan serta inspirasi dalam membudayakan integriti dalam kehidupan seharian.

Penganjur berharap penganjuran festival ini akan menjadi platform penting membentuk komuniti yang berprinsip, beretika, bebas rasuah dan berintegriti tinggi, sekaligus menjadi pemangkin kepada pentadbiran yang telus, efisien dan diyakini rakyat. -EDISI UKAS


image Undian
image Pengumuman