Kempen Keselamatan Jalan Raya Samarahan Tumpu Kesedaran Sempena Hari Gawai
GEDONG, 2025 – Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Samarahan telah berlangsung di Simpang Jambatan Gedong/Kampung Kanchong pada hari Selasa, dengan fokus utama meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya menjelang sambutan Hari Gawai.
Majlis dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, menyaksikan agihan 34 topi keselamatan dan 45 beg cenderamata kepada pengguna jalan raya sebagai simbolik komitmen kerajaan terhadap keselamatan rakyat, khususnya pada musim perayaan.
Program ini hasil kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah di bawah Jawatankuasa Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Bahagian Samarahan, dengan pelbagai pendekatan mendidik dan meningkatkan kesedaran kepatuhan terhadap peraturan lalu lintas.
Rodiyah menekankan bahawa kempen sebegini memainkan peranan penting dalam menanam sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya. Beliau turut memaklumkan statistik kemalangan jalan raya di Bahagian Samarahan bagi Januari hingga April 2025 menunjukkan 480 kes, termasuk empat kematian – satu angka yang membimbangkan.
“Semua pengguna jalan raya perlu lebih peka dan mematuhi undang-undang demi keselamatan bersama, terutama ketika musim perayaan,” ujarnya.
Beliau menambah, program seumpama ini akan diteruskan dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan NGO bagi penyampaian mesej keselamatan yang lebih meluas dan berkesan.
Turut hadir ialah Wakil Residen Bahagian Samarahan, Hasanal Abdul Wahid; Ketua Bahagian Kanan JPJ Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau; Ketua Balai Polis Simunjan, DSP Rafhan Kepli; dan wakil-wakil daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Pengangkutan Sarawak dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Negeri.
(Sumber: UKAS SARAWAK)