Berita

 

Samarahan Bridge Half Marathon 2025 tarik lebih 800 peserta

Disiarkan pada 28 Apr 2025
Sumber Berita: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)

1

               2  3

              
KOTA SAMARAHAN (27 April 2025):

Samarahan Bridge Half Marathon 2025 kembali meriah selepas hampir lima tahun tidak dianjurkan akibat pandemik COVID-19, menghimpunkan ratusan pelari dari dalam dan luar negara. Acara yang berlangsung di perkarangan The Summer Shopping Mall ini menampilkan pertandingan dalam kategori 21km, 10km, serta fun run 5km, sekali gus menyemarakkan semangat komuniti untuk mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif.

Syahrullah Safri dan Sally Yap masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita dalam larian 21 kilometer (km) sempena Samarahan Bridge Half Marathon 2025 yang berlangsung di pekarangan The Summer Shopping Mall di sini pada Ahad.

Syahrullah mencatatkan masa 1 jam 16 minit 34 saat untuk muncul juara kategori lelaki, manakala Sally meraih kejuaraan kategori wanita dengan catatan 1 jam 33 minit 51 saat.

Bagi acara 10km, Shahmi Muhaimin dinobatkan sebagai juara lelaki dengan masa 34 minit 47 saat, sementara kategori wanita dimenangi oleh Pung Cheng Hui dengan masa 45 minit 14 saat.

Sementara itu, kategori 5km dianjurkan sebagai fun run yang membolehkan peserta berlari bersama keluarga tanpa sebarang persaingan untuk kejuaraan.

Terdahulu, seramai 842 peserta bagi ketiga-tiga kategori dilepaskan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang; Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Abu Amir; serta Setiausaha Perbandaran Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Gustian Durani.

                4  5

Dalam sidang media selepas majlis penyampaian hadiah, Datuk Rubiah menyifatkan sambutan terhadap penganjuran Samarahan Bridge Half Marathon 2025 sebagai amat luar biasa dan memberangsangkan, meskipun hampir lima tahun tidak diadakan akibat pandemik COVID-19.

"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik bukan sahaja daripada peserta tempatan di Kota Samarahan dan Kuching, malah turut menarik penyertaan peserta antarabangsa," katanya.

Beliau menambah, acara ini sejajar dengan minat belia terhadap aktiviti larian sambil mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur.

"Larian ini merupakan platform penting untuk memenuhi minat belia sambil mempertingkatkan kecergasan masyarakat," katanya lagi.

Datuk Rubiah turut berkongsi bahawa buat pertama kalinya acara ini melibatkan laluan merentasi Jambatan Batang Samarahan, sebuah mercu tanda penting yang telah menyumbang kepada pembangunan pesat di Kota Samarahan sepanjang sedekad lalu.

"Jambatan ini bukan sahaja menghubungkan Kota Samarahan dengan Kuching dan kawasan sekitar, malah turut membantu menaik taraf jaringan jalan utama di Kota Samarahan," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk sektor swasta dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak selaku penaja utama, serta Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan sebagai penganjur bersama.

"Pada mulanya, sasaran peserta kami hanyalah antara 200 hingga 300 orang. Sambutan luar biasa yang diterima ini menunjukkan potensi besar untuk memperkembangkan lagi acara ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk menjadikan Samarahan Bridge Half Marathon sebagai acara tahunan dengan penambahan lebih banyak kategori larian pada edisi-edisi akan datang.

Selain itu, pelbagai kategori juga turut diadakan, iaitu:

  • 5KM Fun Run: 305 penyertaan

  • 10KM Lelaki: 130 penyertaan

  • 10KM Wanita: 91 penyertaan

  • 21KM Half Marathon (acara utama): 275 peserta lelaki dan 81 peserta wanita

Kali ini, kita turut menerima penyertaan dari peserta antarabangsa termasuk dari Singapura, Korea dan Perancis. Sebagai tambahan, acara Aerobathon juga dianjurkan pada hari tersebut dengan penyertaan daripada 16 pasukan.

Dalam acara utama 21KM kategori lelaki, tempat pertama dimenangi oleh Syahrullah bin Safri manakala tempat ketiga diraih oleh kembarnya, Hazarullah bin Safri. Bagi kategori wanita pula, kemenangan dirangkul oleh Sally Yap. Tahniah dan syabas diucapkan!

Tahniah juga kepada semua peserta yang telah mengambil bahagian dan memeriahkan acara ini. Semoga semangat kesukanan dan amalan gaya hidup sihat terus berkembang di Samarahan.

#SamarahanBridgeHalfMarathon2025
#SamarahanAktif
#GayaHidupSihat



image Undian
image Pengumuman