Profil Bahagian Samarahan
Bahagian Samarahan telah diisytiharkan sebagai Bahagian Kelapan pada tahun 1987. Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandaraya Kuching dan boleh dihubungi melalui Jalan darat atau melalui sungai. Bahagian Samarahan yang berkeluasan lebih kurang 2,426 kilometer persegi mempunyai lima buah daerah, iaitu Samarahan, Simunjan, Asajaya, Gedong, Sebuyau serta sebuah daerah kecil, iaitu Daerah Kecil Sadong Jaya di bawah Pentadbiran Daerah Asajaya. Rajah 1 menunjukkan sempadan pentadbiran terkini untuk Bahagian Samarahan.
Rajah 1: Sempadan terkini pentadbiran Bahagian Samarahan
Pentadbiran Bahagian Samarahan diketuai oleh Pejabat Residen Bahagian Samarahan, manakala di Pentadbiran di peringkat daerah pula diketuai oleh Pejabat Daerah. Pada mulanya Samarahan merupakan sebuah Daerah kecil yang dikenali sebagai Daerah Kecil Muara Tuang yang pada ketika itu di bawah bidangkuasa Pentadbiran Daerah Kuching. Pada tahun 1983, Daerah Kecil Muara Tuang telah dinaikkan taraf menjadi daerah penuh dan telah dinamakan sebagai Kota Samarahan dan seterusnya pada tahun 1987 Kota Samarahan telah dinaikkan taraf sebagai Bahagian yang kelapan di Negeri Sarawak merangkumi Daerah Serian, Simunjan dan Asajaya bagi membentuk sebuah bahagian yang dinamakan sebagai Bahagian Samarahan. Namun begitu, pada tanggal 1 Oktober 2015 Daerah Serian telah pun dipisahkan dari Pentadbiran Bahagian Samarahan setelah dinaik taraf sebagai Bahagian yang ke-12 di Negeri Sarawak.
Dulunya keadaan geografi Bahagian Samarahan adalah merupakan kawasan yang berpaya serta sukar untuk dibangunkan, maka aktiviti pertanian ketika itu hanya diusahakan sekadar untuk sara diri sahaja. Atas usaha pro-aktif Kerajaan Negeri yang berjaya melaksanakan pelan induk pembangunan yang komprehensif bertunjangkan falsafah Politik Pembangunan, kini Bahagian Samarahan telah pesat membangun serta dikenali sebagai Kota Ilmu.
Dengan terbinanya Institut Pengajian Tinggi(IPT) seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sebuah Institut Perguruan Tun Abdul Razak (IPTAR) di Samarahan telah merancakkan pertumbuhan Bahagian Samarahan yang dapat disaksikan pada hari ini. Bahagian Samarahan terus menjadi pilihan sebagai pusat pembangunan institusi pendidikan dan penyelidikan seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Jantung Negara, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Lembaga Koko Malaysia, Institut Tadbiran Awam Negara dan Institut Penyelidikan Tanah Gambut Sarawak.
Luas kawasan Bahagian Samarahan ialah 2,426 kilometer persegi dengan Daerah Sebuyau adalah yang terbesar iaitu meliputi 30 peratus keluasan Bahagian Samarahan. Perincian kealuasan daerah, populasi penduduk dan kegiatan ekonomi di setiap daerah dalam Bahagian Samarahan boleh dirujuk di Jadual 1.
Jadual 1: Perincian keluasan daerah, populasi penduduk dan kegiatan ekonomi di setiap daerah
dalam Bahagian Samarahan
NAMA BAHAGIAN |
KELUASAN BAHAGIAN |
SAMARAHAN | 2,426 km2 approx |
DAERAH-DAERAH DALAM BAHAGIAN SAMARAHAN |
|
NAMA DAERAH |
KELUASAN DAERAH (km2 approx) |
1. Daerah Samarahan | 421 |
2. Daerah Asajaya | 290 |
3. Daerah Simunjan | 395.6 |
4. Daerah Sebuyau | 707.2 |
5. Daerah Gedong | 612 |
6. Daerah Kecil Sadong Jaya | 121 |
JUMLAH PENDUDUK MENGIKUT DAERAH (orang) |
|
NAMA DAERAH |
JUMLAH PENDUDUK (orang) |
1. Daerah Samarahan | 136,500 |
2. Daerah Asajaya | 20,017 |
3. Daerah Simunjan | 11,115 |
4. Daerah Sebuyau | 13,478 |
5. Daerah Gedong | 14,424 |
6. Daerah Kecil Sadong Jaya | 10,954 |
JUMLAH KESELURUHAN | 206,488 |
KEGIATAN EKONOMI MENGIKUT DAERAH |
|
1. Daerah Samarahan | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |
2. Daerah Asajaya | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |
3. Daerah Simunjan | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |
4. Daerah Sebuyau | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |
5. Daerah Gedong | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |
6. Daerah Kecil Sadong Jaya | Pertanian, Perikanan dan Usahawan |